SYED QUTB:
PEMIKIRAN DAN PEGARUHNYA TERHADAP PERJUANGAN PAS
Oleh;Mohd Fauzi Zakaria
LATAR BELAKANG KELUARGA
Syed Qutb dilahirkan pada 9 Oktober 1906 di sebuah kampung di
wilayah Assyut, Mesir. Beliau mendapat didikan awal di rumah
daripada kedua ibu bapanya yang kuat beragama. Sewaktu berusia 6
tahun, beliau dihantar ke sekolah rendah di kampungnya. Sewaktu berusia
7 tahun, beliau mula menghafal al-Qur'an. Sewaktu usianya 10 tahun, beliau
telah berjaya menghafalnya.
KEHIDUPAN AWAL DI QAHIRAH
KEHIDUPAN AWAL DI QAHIRAH
Sewaktu berusia 15 tahun, Syed Qutb mulai berhijrah ke kota Qahirah.
Di sini beliau telah memasuki Sekolah Perguruan Abdul Aziz. Setelah menamatkan
pengajian, beliau segera bertugas mengajar di sebuah sekolah rendah. Walaupun
hatinya memberontak untuk meneruskan pengajian, namun beliau terpaksa memendamkan
hasrat hatinya kerana terpaksa menyara hidup keluarganya, lantaran bapanya
telah meninggal dunia semasa Syed Qutb sedang menuntut di sekolah perguruan.
Pada tahun 1928, sewaktu berusia 22 tahun, Syed Qutb menyambung
semula pengajiannya. Beliau memasuki sekolah persediaan untuk
memasuki Darul Ulum, Universiti Qahirah. Pada tahun 1930 beliau diterima
memasuki Darul Ulum mengikuti pengajian Bahasa Arab dan Ulum al-Syari'ah.
Setelah menamatkan pengajian di Darul Ulum, beliau bertugas sebagai
Nazir di Kementerian Pendidikan Mesir. Sebagai seorang pegawai kerajaan,
beliau serius dalam menjalankan tugasnya. Beliau merancang berbagai pembaharuan
di Kementerian Pendidikan. Oleh itu beliau melakukan kajian demi
kajian serta mengemukkaan cadangan tanpa menghiraukan risikonya. Selain
daripada terlibat dalam bidang pendidikan, beliau juga berminat dengan
politik dan dunia penulisan. Beberapa pandangan politiknya
yang tidak selari dengan polisi kerajaan telah dimuatkan di dalam beberapa
majalah. Ini menimbulkan kemarahan kepada Menteri Pelajaran, lantas mengarahkan
agar Syed Qutb dihantar "berkursus" di Amerika Syarikat.
Sementara dalam bidang penulisan, pada peringkat awalnya beliau
lebih berminat dengan bidang kesusasteraan sehingga menjadi salah seorang
sasterawan Mesir yang terkenal.
Bagaimanapun, semenjak awal dekad 1940-an, satu era baru telah
bermula dalam kehidupan Syed Qutb. Era ini boleh dikatakan sebagai
era kesedarannya kembali kepada Islam. Namun pada peringkat ini beliau
masih bergerak secara peribadi dalam usahanya menegakkan nilai-nilai Islam.
Di dalam penulisan, beliau mula menulis suatu rencana bersiri, kemudian
dibukukan dengan tajuk "At-Taswir Fanni Fil Qur'an" pada tahun 1939.
Tulisan ini mengupas keindahan dan kesenian yang terdapat di dalam ayat-ayat
al-Qur'an. Pada tahun 1945 beliau menulis sebuah buku bertajuk
"Masyahidul Qiamah Fil Qur'an". Kedua-dua penulisan itu telah menemukan
semula dirinya dengan didikan asas agama oleh kedua orang tuanya sewaktu
kecil dahulu.
Seterusnya pada tahun 1948, Syed Qutb telah menghasilkan
sebuah buku kemasyarakatan Islam berjudul "Al-Adalah Al-Ijtima'iyyah Fil
Islam". Menerusi buku ini, Syed Qutb menyatakan dengan jelas bahawa keadilan
masyarakat sejati hanya akan tercapai apabila melaksanakan sistem Islam.
SYED QUTB BERSAMA IKHWAN AL-MUSLIMIN
Peringkat terakhir daripada perjalanan hidup Syed Qutb bermula
daripada tahun 1951, tahun penyertaannya ke dalam jama'ah Ikhwan al-Muslimin,
sehingga ke tahun kesyahidannya tahun 1966. Bagi Syed Qutb, tempoh
itu sangat penting baginya. Beliau sendiri menganggap tahun 1951
sebagai tahun kelahirannya semula.
Syed Qutb menyertai jamaah Ikhwan al-Muslimin, dua tahun sesudah
kematian pengasasnya Imam al-Syahid Hassan al-Banna pada tahun 1949.
Mereka berdua tidak pernah bertemu walaupun dilahirkan di tahun yang sama
1906, dan dididik di tempat yang sama, di Darul Ulum.
Namun di antara mereka mempunyai kesatuan jiwa dan wahdatul-fikr.
Bagi Hassan al-Banna setelah membaca buku "Al-'Adalah Al-Ijtima'iyyah Fil
Islam", karangan Syed Qutb, beliau menganggap pengarangnya (Syed Qutb )
adalah sebahagian daripada kita ( Al-Ikhwan ). Seterusnya Imam al-Banna
telah menyakinkan para pemuda Ikhwan bahawa "orang ini" (Syed
Qutb) akan menyertai al-Ikhwan tidak lama lagi.
Syed Qutb juga mempunyai perasaan yang sama terhadap Hassan al-Banna.
Malah kematian al-Banna sangat terasa kepadanya walaupun beliau belum pernah
bersama dengan al-Banna. Berita kematian al-Banna diterimanya dengan
perasaan tragis sewaktu berada di sebuah hospital di Amerika Syarikat.
Berbeza dengan sikap orang-orang Amerika yang bergembira dan bagaikan berpesta
menyambut berita tersebut.
Sekembalinya dari Amerika Syarikat, Syed Qutb terus
mengkaji kehidupan al-Banna dan membaca seluruh risalah karangannya. Beliau
akhir menemui suatu "kebenaran" yang wajib diperjuangkan. Seterusnya beliau
berjanji dengan Allah untuk memikul amanah perjuangan Hassan al-Banna.
Oleh itu, pada tahun 1951 Syed Qutb dengan rasminya menyertai
Ikhwan al-Muslimin. Pada tahun 1952, beliau dipilih menganggotai Maktab
Irsyad dan dilantik mengetuai Lujnah Dakwah. Selepas peninggalan al-Banna,
Ikhwan masih bertenaga kerana memperolehi saf kepimpinan yang berwibawa
untuk meneruskan kepimpinan. Mereka adalah Hasan Hudhaibi sebagai
Mursyidul Am, Abdul Qadir Audah sebagai Setiausaha Agung dan
Syed Qutb sendiri yang mengetuai Lujnah Dakwah, dianggap sebagai
"ideolog" kepada Ikhwan al-Muslimin.
Sepanjang tempoh memimpin Lujnah Dakwah, Syed Qutb telah menghasilkan
beberapa karya yang berasaskan dakwah dan pemikiran Aqidah Islam.
Antaranya ;
1- Hadha al-Din.
2- Al-Mustaqbal li hadha al-Din.
2- Khasa'is al-Tasawwur al-Islamiyy.
3- Maalim fi al-Tariq.
5- Tafsir Fi Zilal al-Qur'an.
1- Hadha al-Din.
2- Al-Mustaqbal li hadha al-Din.
2- Khasa'is al-Tasawwur al-Islamiyy.
3- Maalim fi al-Tariq.
5- Tafsir Fi Zilal al-Qur'an.
Mesej utama yang ditekankan oleh Syed Qutb di dalam penulisannya
ini ialah konsep al-Tauhid dari sudut al-Uluhiyyah. Menurutnya kemuncak
kepada Tauhid Uluhiyyah Allah swt. ialah hakNya dari sudut al-Hakimiyyah
dan al-Tasyri'. Menurutnya lagi bahawa ikrar Lailaha ilalLah adalah
pernyataan revolusi terhadap seluruh kedaulatan yang berkuasa di atas muka
bumiNya. Maka seluruhnya itu mesti dikembalikan kepada hakNya.
Pada bulan Julai 1952, satu peristiwa bersejarah berlaku di Mesir
iaitu "Revolusi Julai 1952". Revolusi ini menggulingkan pemerintahan beraja
Mesir, dijayakan oleh gerakan "Dubbat al-Ahrar" pimpinan Kolonel
Jamal Abdul Naser dengan kerjasama Ikhwan al-Muslimin.
Sesudah revolusi, Syed Qutb telah ditawarkan dengan jawatan Menteri
Pelajaran Mesir. Syed Qutb terlebih dahulu meminta jaminan daripada
pemimpin Majlis Revolusi yang diketuai oleh Jamal Abdul Naser dan Anwar
Sadat, bahawa Kerajaan Revolusi Mesir akan melaksanakan pemerintahan
berdasarkan syariat Islam. Bagaimanapun mereka menolaknya untuk melaksanakan
pemerintahan Islam. Berdasarkan kepada penolakan tersebut, Syed Qutb
merasakan perkara tidak baik akan berlaku.
Sejarah membuktikan apa yang dibimbangkan oleh Syed Qutb memang
terjadi. Pada13 Januari 1954, Kerajaan Revolusi Mesir telah mengharamkan
Ikhwan Muslimin dan para pimpinannya telah ditangkap di atas tuduhan gerakan
Ikhwan sedang merancang hendak menggulingkan kerajaan revolusi, satu tuduhan
yang tidak pernah dibuktikan di mahkamah. Ekoran daripada itu tujuh
orang pimpinan tertingginya dijatuhi hukuman mati, termasuk Hasan Hudhaibi,
Abdul Qadir Audah dan Syeikh Mohamad Farghali,ketua sukarelawan Mujahidin
Ikhwan al-Muslimin di dalam Perang Suez 1948. Bagaimanapun
hukuman terhadap Hasan Hudhaibi dipinda kepada penjara seumur hidup dan
Syed Qutb pula dihukum penjara lima belas tahun dengan kerja berat.
Pada tahun 1964, Syed Qutb telah dibebaskan di atas permintaan
peribadi Abdul Salam Arif, Presiden Iraq. Kerajaan Revolusi Mesir
bagaimanapun tidak berpuas hati dengan pembebasan tersebut. Apabila Presiden
Abdul Salam Arif terkorban dalam satu kemalangan udara, Syed Qutb ditangkap
semula pada tahun berikutnya. Tangkapan kedua ini dibuat berdasarkan
tuduhan beliau merancang satu rampasan kuasa baru untuk menggulingkan kerajaan.
Pertuduhan ke atas Syed Qutb di Mahkamah Revolusi dibuat berdasarkan
buku-bukunya terutama Maalim Fi al-Tariq. Ia berdasarkan kenyataannya mengenai
seruan revolusi terhadap seluruh kedaulatan yang tidak berdasarkan Syari'at
Allah.
Bersama Syed Qutb kali ini, turut juga ditahan ialah seluruh anggota
keluarganya. Syed Qutb seorang yang bermaruah. Sebelum hukuman
gantung dilaksanakan ke atasnya, Presiden Naser menghantar utusan menemui
Syed Qutb. Melalui utusan itu Presiden Naser meminta agar Syed Qutb
menulis kenyataan meminta ampun daripadanya agar Syed Qutb dibebaskan.
Namun Syed Qutb dengan tegas menjawab;
"Telunjuk yang bersyahadah setiap kali bersolat bahawa
Tiada Ilah yang disembah dengan sesungguhnya melainkan
Allah dan Muhamad Rasulullah, tidak akan aku menulis
satu perkataan yang hina. Jika aku dipenjara kerana benar
aku redha. Jika aku dipenjara secara batil, aku tidak akan
menuntut rahmat daripada kebatilan".
Pada pagi Isnin, 29 Ogos 1966, Syed Qutb telah digantung sampai
mati bersama-sama sahabat seperjuangannya, Mohamad Yusuf Hawwash dan Abdul
Fatah Ismail. Berita hukuman mati yang dilaksanakan ke atas Syed Qutb telah
mengejutkan Dunia Islam. Kebanyakan tokoh dan pimpinan umat Islam
sedih dan kecewa dengan peristiwa tersebut(1).
PENGARUH PEMIKIRAN SYED QUTB TERHADAP PAS
Walaupun Syed Qutb telah dihukum mati, namun pemikirannya terus
hidup dan didokong oleh gerakan-gerakan Islam di seluruh dunia termasuk
Parti Islam Se-Malaysia (PAS) di Malaysia. Penekanan utama pemikiran Syed
Qutb, melalui kuliah-kuliahnya dan juga penulisannya ialah konsep
mendaulatkan Hakimiyyah Allah. Itulah intipati kepada tuntutan Tauhid al-Uluhiyyah
iaitu kemuncak kepada al-Tauhid. Menurutnya makna dan tuntutan tertinggi
daripada Kalimah Syahadah ialah tuntutan menegakkan Hakimiyyah Allah, yakni
mendaulatkan Syari'atNya di atas muka bumi ini.
Di antara pendokong utama pemikiran ini ialah Profesor Zulkifli
Mohamad rahimahullah. Beliau adalah di antara ratusan pelajar Melayu
lepasan University Al-Azhar, Mesir yang sentiasa mengikuti kuliah-kuliah
Syed Qutb di Maktab Syubban al-Muslimin pada tahun-tahun 1950- an.
Sepulangnya ke Tanah Melayu beliau telah menyertai PAS dan
sesudah mendapat amanah sebagai pimpinan, beliau telah menerapkan
fikrah Hakimiyyah Syed Qutb ini sebagai fikrah perjuangan PAS.
Kini PAS di bawah kepimpinan Ulamak. Fikrah mendaulatkan Hakimiyyah
Allah terus menunjangi perjuangan PAS, setelah beberapa ketika agak
samar dan terpinggir di bawah kepimpinan semangat juang yang bersifat nasionalisme
Melayu.
(1) Di antaranya yang turut merasai sedih dan adalah
Ustaz Nik Abdul Aziz, guru di Maahad Muhamadi, (sekarang YAB Dato' Menteri
Besar Kelantan yang juga Mursyidul Am PAS). Beliau tidak dapat menyembunyikan
rasa sebaknya terhadap peristiwa tersebut. Sambil memberi tahu para
pelajarnya apa yang berlaku, beliau dengan rasa sebak memohon maaf kerana
tidak dapat mengajar pada pagi tersebut.
Terima kasih kepada blog [Sumber : http://rostam97.tripod.com/adin/ad07.htm], saya kongsikan dalam blog saya.
Saya cuma insan kerdil yang masih baru dan sentiasa mencari keredahanNya. Saya sentiasa mohon kepada Allah swt agar memandu saya kepada Ilmu2 dan Maklumat2 yang benar dan bermanafaat untuk dikongsi bersama. Jika ada kesalahan mohon maaf dan mohon teguran kerana teguran anda akan mendekatkan saya kepada Allah swt....
Semoga rahmat Allah sentiasa melimpahi kepada penulis, penyebar Ilmu dan Maklumat yang bermanafaat serta pembaca sekalian. Ameen Ameen Ya Rabb Alameen...