Musafir Penerbangan
dan
Beberapa Permasalahannya
Hafiz Firdaus Abdullah
|
Satu Analisa Hukum dan Perbandingan Pendapat.
Allah Subhanahu waTa'ala telah
berfirman di dalam al-Qur'an:
Pada masa ini dihalalkan bagi kamu (memakan
makanan) yang lazat-lazat serta baik-baik. Dan makanan (sembelihan) orang-orang
yang diberikan Kitab itu adalah halal bagi kamu, dan makanan (sembelihan) kamu
adalah halal bagi mereka (tidak salah kamu memberi makan kepada mereka).
[Maksud surah al-Maidah 05 - 05]. Dalam ayat di atas Allah Ta'ala telah
menghalalkan bagi kita umat Islam makanan-makanan sembelihan kaum ahli kitab,
iaitu sembelihan kaum Yahudi dan Nasrani. Walaubagaimanpun ayat di atas telah
menimbulkan beberapa perbincangan yang mendalam di kalangan ahli-ahli ilmuan dan
perbincangan mereka akan disalin serta dianalisa berikut ini supaya dapat kita
fahami dengan lebih mendalam hukum serta tujuan sebenar ayat di atas.
Pertama:
Ahli Kitab - Definasi dan Kedudukan Hukumnya.
Islam membahagikan umat manusia ini
dari sudut agama kepada tiga golongan:
1.
Orang-orang yang beriman, iaitu orang Islam.
2.
Orang-orang Ahli Kitab.
3.
Orang-orang Musyrik.
Orang-orang Islam adalah orang yang
mentauhidkan Allah sebagai satu-satunya Tuhan sekalian alam manakala RasulNya
pula adalah Muhammad bin Abdillah, sallallahu-alaihi-wasallam. Orang-orang Islam
adalah orang yang menerima risalah agama yang dibawa oleh al-Qur'an dan Sunnah,
tidak risalah-risalah agama sebelum itu atau selain itu. Firman Allah Azza
waJalla: Sesungguhnya agama (yang
benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam.
[ Maksud surah Ali Imran 03 - 19]
Orang yang beriman kepada selain
risalah agama Islam digelar sebagai orang bukan Islam atau orang kafir dan
mereka terbahagi kepada 2 golongan iaitu orang-orang Ahli Kitab dan orang-orang
Musyrik. Seluruh ahli-ahli tafsir, ahli hadith serta ahli fiqh sepakat
menyatakan bahawa yang dimaksudkan sebagai orang-orang Ahli Kitab ialah kaum
yang diturunkan kepada mereka kitab Taurat, iaitu kaum Yahudi dan kaum yang
diturunkan kepada mereka kitab Injil, iaitu kaum Nasrani (Kristian). Sementara
orang-orang Musyrik pula ialah orang-orang yang menyembah berhala, patung, pokok
dan sebagainya. Termasuk dalam golongan ini ialah kaum yang tidak mempercayai
adanya tuhan atau agama, iaitu kaum atheis dan juga komunis. Selain itu terdapat
perbezaan pendapat samada golongan Saabi'in dan Majusi , adakah
mereka termasuk dalam golongan Ahli Kitab atau Musyrik.[1]
Secara lebih tepat Ahli Kitab
didefinasikan sebagai umat-umat di mana agama mereka berasal dari kitab-kitab
yang telah diturunkan oleh Allah Subhanahu waTa'ala kepada nabi-nabi mereka di
mana nama nabi-nabi tersebut telah di sebut secara jelas di dalam kitab
al-Qur'anul Karim.[2]
Oleh itu umat-umat dari agama lain seperti Hindu atau Budha tidak termasuk dalam
golongan Ahli Kitab yang dimaksudkan sekalipun mereka mempunyai kitab suci
masing-masing.[3]
Ahli Kitab adalah satu golongan umat
yang berbeza dengan orang-orang yang beriman, iaitu orang Islam, sepertimana
yang telah dibezakan oleh al-Qur'an dalam ayat berikut: Wahai orang-orang
yang beriman, Jika kamu ta'at akan sesuatu puak dari orang-orang (Yahudi dan
Nasrani) yang telah diberikan kitab itu nescaya mereka ……
[Maksud surah
Ali Imran 03 - 100]. Ahli Kitab termasuk ke dalam golongan orang bukan Islam,
iaitu orang-orang kafir tetapi mereka tidak termasuk ke dalam golongan orang
musyrik. Pembezaan 2 golongan ini dilakukan oleh al-Qur'an dalam ayat berikut:
Orang-orang yang kafir dari Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) serta
orang-orang musyrik ……
[Maksud surah al-Baiyinah 98 - 02]. Ahli Kitab
dari golongan Yahudi dan Nasrani sebenarnya adalah tergolong dalam kategori
mereka sendiri, iaitu tidak beriman dan tidak pula musyrik, sepertimana yang
dikategorikan oleh al-Qur'an dalam ayat berikut: Bahawasanya orang-orang
yang beriman, dan orang-orang Yahudi, dan orang-orang Saabi'in, dan orang-orang
Nasrani, dan orang-orang Majusi, serta orang-orang Musyrik……
[Maksud
surah al-Hajj 22 - 17].
Daripada nukilan beberapa ayat-ayat
al-Qur'an yang membahagikan sesuatu umat itu kepada beberapa golongan, nyata
kepada kita bahawa orang-orang Ahli Kitab mempunyai tempat yang tersendiri di
sisi ajaran Islam. Mereka bukanlah orang-orang yang beriman tetapi mereka juga
bukan orang-orang yang musyrik. Mereka adalah orang-orang yang telah diberi
kedudukan yang berbeza dari kaum lain dan dengan kedudukan inilah Islam
menghalalkan sembelihan mereka, menghalalkan pernikahan dengan wanita mereka
serta mengizinkan persahabatan dengan mereka berbanding dengan kaum-kaum lain.
Keistimewan ini dikhaskan oleh Islam terhadap mereka kerana kaum Yahudi dan
Nasrani ini kedua-duanya berpegang kepada agama yang amat hampir kepada agama
Islam. Mereka percaya kepada Tuhan, percaya kepada Malaikat, rasul-rasul dan
juga mempunyai kitab-kitab suci yang diturunkan. Dengan itu Islam menghalalkan
sembelihan mereka, menghalalkan pernikahan dengan wanita mereka dan membolehkan
perhubungan sosial yang baik dengan mereka agar dengan itu kita dapat menarik
mereka ke arah agama Islam ini. Apabila kita dan mereka dapat hidup dalam
suasana iklim yang lebih erat dan rapat, dapatlah kita memperlihatkan mereka
akan kebenaran, kemuliaan, kesyumulan dan keindahan Islam dan sekaligus dapat
membuka hati mereka ke arah Islam.[4]
Hikmah kedua dihalalkan sembelihan
kaum Ahli Kitab ialah kerana Allah Subhanahu waTa'ala sedia mengetahui bahawa
mereka, kaum Yahudi dan Nasrani adalah dua kaum yang dominan di muka bumi ini
bersama-sama dengan umat Islam. Salah satu dari dua kaum ini, antara Yahudi atau
Nasrani atau kedua-duanya pasti akan wujud di mana-mana bahagian muka bumi ini
sehingga ke akhir zaman. Dengan membolehkan umat Islam memakan hasil sembelihan
mereka, umat Islam akan dapat memperolehi makanan di mana sahaja mereka berada.
Ini amat benar jikalau kita perhatikan suasana masa kini di mana umat Islam
wujud merata-rata di seluruh dunia, ada sebagai majoriti dan ada sebagai
minoriti. Umat Islam yang hadir sebagai majoriti tidak menghadapi masalah
pemakanan kerana mudah bagi mereka berusaha-sama menyediakan sumber makanan yang
halal bagi diri dan kumpulan mereka. Akan tetapi bagi umat Islam yang wujud
sebagai kelompok minoriti di negara-negara non-muslim, seperti di
Argentina, Peru, Greenland dan sebagainya, adalah sukar bagi mereka menyediakan
makanan halal secara usaha sesama sendiri melainkan dengan memakan hasil
sembelihan kaum Ahli Kitab yang wujud di lokasi mereka. Di sini dapat kita
renungi kembali firman Allah Subhanahu waTa'ala yang menjadi prinsip syari'at
agama Islam ini: Dialah yang memilih kamu (untuk mengerjakan suruhan
AgamaNya); dan Ia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan sudah
payah dalam perkara agama. (Maksud surah al-Hajj 22 - 78).
Walaubagaimanapun kedudukan istimewa
kaum Ahli Kitab di sisi Islam hanyalah bagi urusan Duniawi dan tidak pula bagi
urusan Ukhrawi kerana mereka semua akan tetap dimasukkan ke dalam api neraka
selama-lamanya. Allah Azza waJalla telah berfirman: Sesungguhnya
orang-orang yang kafir dari Ahli Kitab dan orang-orang musyrik itu akan
ditempatkan di dalam neraka Jahannam, kekallah mereka di dalamnya.
[Maksud surah al-Baiyinah 98 - 06]
Terdapat perbezaan pendapat di
kalangan ahli-ahli fiqh samada kebolehan hukum-hukum tertentu yang khusus di
dalam al-Qur'an itu, seperti halalnya sembelihan mereka dan halalnya pernikahan
dengan wanita mereka, adakah ia ditujukan kepada seluruh kaum Ahli Kitab
sepanjang zaman ataupun terhad kepada beberapa syarat. Perbezaan ini menyimpul
kepada tiga ikatan pendapat iaitu:
1.
Kebolehan hukum adalah mutlak bagi semua kaum Ahli Kitab, dahulu,
sekarang atau yang akan datang, samada mereka berpegang kepada kitab asal
mahupun kepada kitab yang telah diubah suai.
2.
Kebolehan hukum hanya bagi kaum Ahli Kitab yang hidup di zaman Nabi
sallallahu-alaihi-wasallam dan keturunan zuriat mereka sahaja. Pemeluk-pemeluk
baru dari kalangan agama Yahudi dan Nasrani tidak termasuk dalam golongan ini.
3.
Kebolehan hukum tidak lagi boleh diterima kerana kebanyakkan kaum Yahudi
dan Nasrani masa kini tidak lagi memegang kepada kitab mereka yang asal
melainkan ianya telah diubahsuai atau ditukar.
Analisa serta Perbandingan
Pendapat.
Pendapat pertama dihujahkan atas dasar bahawa Allah Subhanahu waTa'ala telah membolehkan suatu
hukum tanpa meletakkan apa-apa syarat tambahan mengenainya padahal Allah sebagai
Tuhan yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana sudah tentu akan melakukan
sedemikian jikalau Dia merasakan perlu demi kebaikan umat Islam. Akan tetapi
Allah Ta'ala tidak melakukan demikian, yakni tidak meletakkan apa-apa syarat
tambahan tetapi sebaliknya Allah telah meletaknya sebagai salah satu dari sumber
hukum yang termasuk dalam sifat-sifat kesempurnaan Islam. Allah Subhanahu
waTa'ala telah berfirman: Pada hari
ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu.
[Maksud surah al-Maidah 05 - 03]. Perlu juga digarisbawahi bahawa ayat
kesempurnaan Deen Islam ini diturunkan serentak dengan ayat yang membolehkan
sembelihan dan pernikahan wanita Ahli Kitab.
Tambahan lagi di dalam al-Qur'an juga tidak
dijumpai mana-mana ayat yang meletakkan syarat-syarat tambahan atau had-had
tertentu mengenai hukum kebolehan sembelihan Ahli Kitab padahal di dalam
al-Qur'an itu sendiri Allah Azza waJalla telah menerang akan kesempurnaannya,
iaitu dengan firmanNya: Dan kami turunkan kepada kamu (kitab) al-Qur'an
menjelaskan tiap-tiap sesuatu dan menjadi hidayah petunjuk serta membawa rahmat
dan berita yang menggembirakan bagi orang-orang Islam. [Maksud surah
an-Nahl 16 - 89]. Selain itu beberapa ayat lain di dalam al-Qur'an jelas
menunjukkan bahawa ia adalah lengkap dan tidak kurang apa-apa jua terutama dalam
hukum-hukum syari'at Islam. Antaranya:
Tiada kami (Allah) tinggalkan sesuatupun
di dalam Kitab al-Qur'an ini.
[Maksud surah al-
An'aam 06 - 38]
Padahal Allah telah menerangkan satu
persatu kepada kamu apa yang diharamkanNya atas kamu.
[Maksud surah al-An'aam 06 - 119]
Dan tiadalah Tuhanmu itu lupa.
[Maksud surah Maryam 19 - 64].
Selain itu juga tidak didapati dalam Sunnah Nabi
sallallahu-alaihi-wasallam apa-apa keterangan yang memberikan syarat-syarat
serta hukum-hukum tambahan dalam hal ini. Sebaliknya apa yang jelas dipesan oleh
Nabi sallallahu-alaihi-wasallam ialah segala hukum-hukum agama Islam ini yang
sedia disyari'atkan adalah lengkap lagi sempurna dan apa-apa kekosongan
di antaranya adalah satu kebolehan yang merupakan anugerah dari Allah kepada
hamba-hambaNya. Sabda Nabi sallallahu-alaihi-wasallam:
Halal adalah sesuatu yang dihalalkan oleh
Allah di dalam kitabNya (al-Qur'an) dan haram adalah sesuatu yang diharamkan
oleh Allah dalam kitabNya (al-Qur'an). Sedangkan sesuatu yang didiamkanNya maka
itu adalah termasuk sesuatu yang diampuniNya.[5]
Dalam satu hadith yang lain Nabi
sallallahu-alaihi-wasallam juga telah bersabda: Sesungguhnya Allah Ta'ala
telah memfardhukan beberapa fardhu maka janganlah kamu mensia-siakannya. Dan Ia
(Allah) telah menetapkan beberapa batas (had) maka janganlah kamu melampauinya.
Dan Ia (Allah) telah mengharamkan segala sesuatu (yang perlu diharamkan) maka
janganlah kamu mencerobohinya. Dan Ia (Allah) telah mendiamkan segala sesuatu
sebagai Rahmat kepada kamu bukan kerana lupa - maka janganlah kamu cuba
menyelidikinya.[6]
Rumusan yang dapat ditarik dari hujah-hujah yang
dikemukakan oleh golongan pertama ini adalah - sembelihan kaum Ahli Kitab, iaitu
kaum Yahudi dan Nasrani adalah halal bagi umat Islam tanpa apa-apa syarat atau
had kerana Allah Subhanahu waTa'ala telah menurunkan hukum kebolehan ini tanpa
meletakkan apa-apa syarat tambahan. Kebolehan ini juga berkuat-kuasa tidak kira
samada kaum-kaum tersebut masih berpegang kepada ajaran kitab mereka yang asli
ataupun yang telah diubahsuai. Penghujahan terakhir ini akan diperluaskan
penerangannya apabila menganalisa pendapat golongan ketiga nanti.
Antara tokoh-tokoh mutakhir yang menghujahkan
kebenaran pendapat pertama ini adalah Prof. Dr. Yusuf Qardhawi, Prof. Dr. Wahbah
Zuhaili, Dr. Ahmad al-Syarbashi dan majoriti ahli-ahli tafsir serta ahli-ahli
fiqh.[7]
Pendapat kedua
menyatakan bahawa kebolehan memakan sembelihan kaum Ahli Kitab hanyalah terhad
kepada orang-orang Yahudi dan Nasrani yang hidup di zaman Nabi
sallallahu-alaihi-wasallam dan keturunan-keturunan mereka sahaja. Ini adalah
kerana ayat yang menghalalkan sembelihan Ahli Kitab adalah ia dalam bentuk
Kata yang telah berlalu atau Past tense menunjukkan bahawa ia
ditujukan kepada umat Yahudi dan Nasrani yang hidup sebelum turunnya ayat
tersebut dan bukan ditujukan kepada umat-umat yang akan datang. Oleh itu
keberlakuan hukum ini tidak tertakluk kepada umat-umat Yahudi dan Nasrani yang
baru memeluk agama itu dan ia juga tidak tertakluk kepada umat-umat Yahudi dan
Nasrani yang tidak dapat dikesan nasab keturunan mereka sehingga ke zaman Nabi
sallallahu-alaihi-wasallam.
Pendapat ini dianggap lemah kerana tafsiran yang
sedemikian itu tidak pernah didengar dari Nabi sallallahu-alaihi-wasallam
mahupun para sahabat radiallahu-anhum padahal merekalah orang yang paling
mengenali al-Qur'an dan paling mengetahui tujuan ayat-ayatnya. Selain itu
sememangnya diketahui bahawa kaum Yahudi dan Nasrani adalah dua kaum wujud
sebelum wujudnya Islam dan mereka telah diturunkan kitab Taurat dan Injil
sebelum turunnya kitab al-Qur'an. Justeru adalah memandai al-Qur'an mengalamatkan
mereka dalam bentuk bahasa yang telah berlalu atau past tense.
Setelah menganalisa pendapat golongan kedua ini,
Prof. Dr. Wahbah Zuhaili menolaknya dengan hujah beliau: Pendapat ini tidak
mempunyai dalil yang kukuh tentang syarat yang mereka katakan itu padahal para
sahabat radiallahu-anhum telah memakan sembelihan ahli kitab dan mengahwini
wanita mereka tanpa menyelidik samada memenuhi syarat ini atau tidak. (iaitu
menyelidik nasab keturunan mereka)
[8]
Pendapat Ketiga
menyatakan bahawa hukum kebolehan memakan sembelihan kaum Ahli Kitab tidak lagi
berhubung-laku di masa kini kerana kedua-dua kaum tersebut, Yahudi dan Nasrani
telah banyak melakukan perubahan serta ubah-suai akan kitab mereka itu sehingga
ianya tidak lagi tulen sepertimana yang wujud di zaman Nabi
sallallahu-alaihi-wasallam. Selain itu sebahagian besar orang-orang Yahudi dan
Nasrani juga kini telah tidak lagi mentaati ajaran kitab mereka samada yang
tulen mahupun yang diubahsuai tetapi banyak pula mengikuti hukum-hukum baru yang
direkacipta mereka selari dengan peredaran zaman. Dengan hujah-hujah di atas,
golongan ini berpendapat bahawa sembelihan kaum Ahli Kitab tidak lagi halal bagi
umat Islam masa kini dan bagi yang akan datang.
Pendapat di atas sekali imbas sememangnya
menampakkan banyak kebenaran dan tiada lubang kelonggaran. Tetapi sebelum
diterima pendapat ini sebulat-bulat ia perlu dianalisa serta dikaji terlebih
dahulu secara ilmiah yang mendalam, sesuai dengan prinsip-prinsip usul tafsir
al-Qur'anul Karim.
Al-Qur'an adalah sebuah kitab yang diturunkan
ayatnya berperingkat-peringkat, setiap penurunan ayat ditentukan kadar dan
masanya oleh Allah Subhanahu waTa'ala sesuai dengan tahap pencernaan ilmu oleh
masyarakat ketika itu dan kondisi sosial mereka yang dinamis dari satu masa ke
masa yang lain. Setiap ayat turun membawa keterangan serta ilmu pengetahuan yang
baru, melengkapkan lagi apa yang sudah diturunkan, mengganti dengan yang lebih
baik dari apa yang sudah sememangnya baik serta mengkhususkan lagi apa yang
sebelum ini adalah umum.[9]
Keterangan di atas mudah difahami dari dua firman Allah Azza waJalla berikut
ini: Dan al-Qur'an itu Kami bahagi-bahagikan supaya engkau membacakannya
kepada manusia dengan lambat tenang dan Kami menurunkannya beransur-ansur;
dan dalam ayat seterusnya: Apa sahaja ayat keterangan yang kami pinda
atau yang kami tinggalkan atau yang kami tangguhkan, Kami datangkan ganti yang
lebih baik daripadanya atau yang sebanding dengannya. Tidakkah engkau mengetahui
bahawasanya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu ? [Maksud surah
al-Isra' 17 - 106 dan surah al-Baqarah 02 - ayat 106.[10]]
Ayat yang menghalalkan sembelihan kaum Ahli
Kitab bagi umat Islam, iaitu dalam surah al-Maidah 05, ayat ke 5 adalah antara
ayat yang terakhir diturunkan sebelum lengkapnya al-Qur'an ini dan sebelum
wafatnya Nabi sallallahu-alaihi-wasallam. Ayat ini dijangkakan turun kira-kira
81 hari atau lebih sedikit sebelum wafatnya Nabi sallallahu-alaihi-wasallam dan
ia adalah serangkap dengan ayat yang menerangkan tentang kesempurnaan Islam,
iaitu firman Allah Ta'ala: Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu
agama kamu. [Maksud surah al-Maidah 05 - 03].[11]
Di samping itu surah al-Maidah adalah juga surah terakhir yang diturunkan antara
kesemua 114 surah-surah yang terkandung di dalam al-Qur'an.[12]
Hakikat turunnya ayat yang menghalalkan
sembelihan Ahli Kitab sebagai salah satu dari ayat-ayat terakhir dalam
al-Qur'anul Karim memberikan titik pengkajian yang amat besar lagi berat dalam
analisa hukum berkaitan. Ini adalah kerana ayat ini turun setelah
turunnya beberapa ayat-ayat yang sedia mengkhabarkan perbuatan kaum Ahli Kitab
yang telah mengubah-suai, menukar serta mencampur-aduk ajaran agama mereka.
Apabila turunnya ayat menghalalkan sembelihan
Ahli Kitab ini, al-Qur'an sejak awal telahpun mengkhabarkan perbuatan kaum Ahli
Kitab tersebut yang mengubah-ubah ayat-ayat dalam kitab mereka. Al-Qur'an
menyatakan: ……padahal sesungguhnya telah ada satu puak dari mereka yang
mendengar Kalam Allah (Taurat), kemudian mereka mengubah dan memutarkan
maksudnya sesudah mereka memahaminya, sedang mereka mengetahui (bahawa perbuatan
itu salah). [Maksud surah al-Baqarah 02 - 75].
Apabila turunnya ayat menghalalkan sembelihan
Ahli Kitab ini, al-Qur'an sejak awal telahpun mengkhabarkan perbuatan kaum Ahli
Kitab tersebut yang mencampur-adukkan ajaran mereka serta menyembunyikan
kebenaran ayat-ayat kitab mereka. Al-Qur'an menyatakan: Dan janganlah kamu
campur adukkan yang benar itu dengan yang salah, dan kamu sembunyikan yang benar
itu pula padahal kamu semua mengetahuinya. [Maksud surah al-Baqarah 02 -
42]
Apabila turunnya ayat menghalalkan sembelihan
Ahli Kitab ini, al-Qur'an sejak awal telahpun mengkhabarkan perbuatan kaum Ahli
Kitab tersebut yang memilih-milih ajaran agama mereka, sebahagian diambil dan
sebahagian ditinggalkan. Al-Qur'an menyatakan: Sesudah itu maka patutkah
kamu hanya percaya kepada sebahagian (dari isi) Kitab Taurat dan mengingkari
akan sebahagian yang lain ? [Maksud surah al-Baqarah 02 - 85]
Apabila turunnya ayat menghalalkan sembelihan
Ahli Kitab ini, al-Qur'an sejak awal telahpun mengkhabarkan perbuatan kaum Ahli
Kitab yang menjadikan Nabi Isa alaihi-sallam sebagai Tuhan mereka dan
pendita-pendita sebagai yang berhak untuk menukar ajaran kitab mereka. Al-Qur'an
menyatakan: Mereka menjadikan pendita-pendita dan ahli-ahli mereka sebagai
pendidik-pendidik selain dari Allah, dan juga (mereka mempertuhankan) Al-Masih
ibni Maryam, padahal mereka tidak diperintahkan melainkan untuk menyembah Tuhan
Yang Maha Esa; tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia. Maha Suci Allah
dari apa yang mereka sekutukan. [Maksud surah at-Taubah 09 - 31]
Apabila turunnya ayat menghalalkan sembelihan
Ahli Kitab ini, al-Qur'an sejak awal telahpun mengkhabarkan perbuatan kaum Ahli
Kitab yang menjadikan Nabi Isa alaihi-sallam sebagai anak Allah. Al-Qur'an
menyatakan: Mereka (kaum Ahli Kitab) berkata: "Allah mempunyai anak". Maha
Suci Allah (dari apa yang mereka katakan itu).[Maksud surah Yunus 10 -
68]
Apabila turunnya ayat menghalalkan sembelihan
Ahli Kitab ini, al-Qur'an sejak awal telahpun mengkhabarkan perbuatan kaum Ahli
Kitab yang mewujudkan konsep Tuhan Bertiga atau Trinity. Al-Qur'an
menyatakan: Wahai Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani), Janganlah kamu
melampaui batas dalam perkara ugama kamu, dan janganlah kamu mengatakan sesuatu
terhadap Allah melainkan yang benar; sesungguhnya Al-Masih 'Isa ibni Maryam itu
hanya seorang Pesuruh Allah,dan Kalimah Allah yang telah disampaikanNya kepada
Maryam, dan (ia juga tiupan) roh daripadaNya. Maka berimanlah kamu kepada Allah
dan Rasul-rasulNya, dan janganlah kamu mengatakan: "(Tuhan itu) tiga".
Berhentilah (daripada mengatakan yang demikian), supaya menjadi kebaikan bagi
kamu. Hanyasanya Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa, Maha Suci Allah daripada
mempunyai anak. Bagi Allah jualah segala yang ada di langit dan yang ada di
bumi. Dan cukuplah Allah menjadi Pengawal (Yang Mentadbirkan sekalian
makhlukNya). [Maksud surah an-Nisaa' 04 - 171]
Apabila turunnya ayat menghalalkan sembelihan
Ahli Kitab ini, al-Qur'an sejak awal telahpun mengkhabarkan perbuatan kaum Ahli
Kitab yang adakalanya mempersoalkan kesahihan agama mereka sendiri. Al-Qur'an
menyatakan: Wahai Ahli Kitab, Mengapa kamu berani mempertengkarkan tentang
(ugama) Nabi Ibrahim, padahal Taurat dan Injil tidak diturunkan melainkan
kemudian daripada (zaman) Ibrahim, patutkah (kamu berdegil sehingga) kamu tidak
mahu menggunakan akal ? [Maksud surah Ali Imran 03 - 65]
Himpunan keterangan-keterangan di atas tidak
lain menunjukkan bahawa apabila hukum kebolehan memakan hasil sembelihan kaum
Ahli Kitab diturunkan, al-Qur'an telahpun dari awal menerang akan perbuatan
mereka, kaum Yahudi dan Nasrani itu yang menyeleweng dan menyimpang dari ajaran
mereka yang asal. Malah lebih buruk lagi mereka sejak dari awal lagi telahpun
melakukan tuduhan syirik yang amat besar terhadap Allah Subhanahu waTa'ala
dengan menuduhNya mempunyai anak dan sebagainya. Tetapi perbuatan-perbuatan
sebegini oleh kaum Ahli Kitab tersebut tidaklah menjadi penghalang bagi Allah
Subhanahu waTa'ala untuk tetap menurunkan hukum menghalalkan sembelihan mereka
kepada umat Islam seluruhnya.
Nah ! Jikalau sejak dari dini lagi al-Qur'an
telah menghalalkan sembelihan Ahli Kitab untuk umat Islam seluruhnya sekalipun
dalam suasana ketika itu kaum-kaum Ahli Kitab telahpun melakukan berbagai-bagai
kesalahan, apakah pula bezanya dengan umat-umat Ahli Kitab masa kini ? Sudah
tentu tidak ada bezanya. Mereka tetap juga sama sebagaimana generasi mereka yang
lalu. Maka dengan itu juga tidak ada sebarang perbezaan bagi keberlakuan
hukum-hukum al-Qur'an terhadap mereka, samada masa kini atau masa yang akan
datang.
Justeru itu pendapat ketiga ini yang mengatakan
bahawa keberlakuan hukum-hukum Islam terhadap kaum Ahli Kitab tidak lagi sah
masa kini atas alasan mereka telahpun menyeleweng dari ajaran yang asal tidak
dapat diterima. Pendapat ini tidak mempunyai alasan mahupun dalil sokongan yang
kukuh melainkan ianya adalah satu sikap yang terlalu berhati-hati sehingga
berlawanan pula dengan ketentuan ilmiah agama Islam ini.
Kesimpulan
dari analisa serta perbandingan antara tiga pendapat yang berkitar pada
persoalan: Adakah Hukum-hukum Ahli Kitab berhubung-laku sehingga masa kini
menampakkan bahawa hujah pendapat yang pertama adalah yang paling tepat
kepada kebenaran dalil-dalil serta ruh tuntutan agama. Iaitu bahawa kebolehan
hukum-hukum adalah mutlak bagi semua kaum Ahli Kitab, dahulu, sekarang atau yang
akan datang, samada mereka berpegang kepada kitab atau ajaran yang asal mahupun
kepada yang telah diubah suai.
Kedua:
Sembelihan Ahli Kitab yang Dibolehkan.
Perkara kedua yang menjadi subjek
perbahasan para ahli fiqh ialah hukum-hukum yang berkisar pada kaedah sembelihan
itu sendiri. Ianya terbahagi kepada 4 sub-topik perbahasan, iaitu:
1. Jenis haiwan sembelihan yang boleh kita makan.
2. Hukum membaca nama Allah oleh kaum Ahli Kitab ketika menyembelih.
3. Hukum membaca nama selain Allah oleh kaum Ahli Kitab ketika menyembelih.
4. Hukum sembelihan kaum Ahli Kitab yang dilakukan sempena hari perayaan
mereka.
5. Kaedah atau cara sembelihan yang dibolehkan.
Analisa Pengkajian
Pertama:
Jenis haiwan sembelihan yang boleh kita makan.[13]
Dipersetujui oleh majoriti para fuqaha bahawa
daging-daging yang telah diharamkan dalam Islam tidak boleh dimakan oleh umat
Islam sekalipun ia disembelih oleh kaum Ahli Kitab. Oleh itu umat Islam tidak
boleh memakan daging babi yang disembelih oleh umat Nasrani. Menjadi titik
perbezaan di sini ialah Islam membolehkan sembelihan kaum Ahli Kitab tetapi
tidak membolehkan semua jenis daging-daging yang mereka sembelihkan. Justeru itu
sembelihan kaum Ahli Kitab hanya dihalalkan oleh Islam apabila yang disembelih
itu adalah haiwan-haiwan yang halal menurut syari'at Islam.
Kedua:
Hukum membaca nama Allah oleh kaum Ahli Kitab ketika menyembelih.
Menyebut nama Allah ketika menyembelih atas
salah satu dari syarat sembelihan mengikut syari'at Islam, sebagaimana firman
Allah Subhanahu waTa'ala di dalam al-Qur'an: Dan janganlah kamu makan dari
(sembelihan binatang-binatang halal) yang tidak disebut nama Allah ketika
menyembelihnya. [Maksud surah al-An'aam 06 - 121]
Walaubagaimanapun menyebut nama Allah ketika
menyembelih tidak menjadi syarat bagi menghalalkan sembelihan yang dilakukan
oleh kaum Ahli Kitab. Ini adalah kerana ayat yang menghalalkan sembelihan kaum
Ahli Kitab diturunkan oleh Allah Subhanahu waTa'ala selepas turunnya
ayat-ayat yang memerintahkan agar sesuatu sembelihan itu perlu dibacakan
Basmalah.
Hakikat ini memperlihatkan pengkhususan dan
pengecualian kepada sembelihan kaum Ahli Kitab daripada sembelihan kaum
Muslimin, dimana ia menunjukkan bahawa sembelihan mereka (Ahli Kitab) terkecuali
dari perintah bacaan Basmalah.[14]
Lebih dari itu apabila Allah Subhanahu waTa'ala menghalalkan sembelihan Ahli
Kitab, sudah tentu diketahuiNya bahawa mereka tidak akan menyebut Bismillah
ar-Rahman ar-Rahim atau Bismillahi Allahu Akbar ketika menyembelih
kerana sudah sememangnya mereka itu bukan orang Islam tetapi adalah orang Yahudi
dan Nasrani. Sekalipun jikalau ada kaum Ahli Kitab yang menyebut Basmalah
ketika meyembelih, itu hanyalah sebutan dimulut dan bukan kerana sesuatu yang
timbul dari sebab keimanan di hati.
Persoalan menyebut nama Allah ketika menyembelih
juga pantas terjawab dengan hadith sahih berikut ini:
A'isyah radiallahu-anha berkata,
sekumpulan orang telah datang bertemu Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam lalu
bertanya: Beberapa orang telah menghadiahkan kami daging padahal kami tidak tahu
samada mereka menyebut nama Allah atau tidak ketika menyembelihnya. Nabi
sallallahu-alaihi-wasallam menjawab: Sebutlah nama Allah ke atasnya dan
makanlah.[15]
Hadith di atas jelas menunjukkan bahawa sesuatu
sembelihan yang tidak disebut nama Allah atasnya, ataupun tidak diketahui samada
disebut nama Allah atau tidak ketika menyembelihnya, ia tetap boleh dimakan
dengan menyebut nama Allah oleh orang yang akan memakannya itu sendiri.
Walaubagaimanapun hadith di atas terhad kebolehannya kepada sembelihan umat
Islam dan kaum Ahli Kitab sahaja kerana sedia diketahui melalui banyak
dalil-dalil lain yang berkaitan bahawa sembelihan kaum-kaum lain pada asalnya
tetap tidak halal bagi kita umat Islam tanpa mengira samada mereka atau kita ada
menyebutkan nama Allah ke atasnya atau tidak.
Ketiga:
Hukum membaca nama selain Allah oleh kaum Ahli Kitab ketika menyembelih.
Persoalan seterusnya yang perlu dianalisa
hukumnya ialah apabila kaum Ahli Kitab melakukan sembelihan tanpa menyebut nama
Allah ke atasnya tetapi menyebut pula nama-nama tuhan mereka seperti
Jesus son of God, al-Masih atau al-Uzair dan sebagainya. Termasuk
dalam kategori ini adalah menyembelih dengan tujuan korban bagi tuhan-tuhan
mereka atau wali-wali mereka (saints) atau sebagai nazar atau sebagai
memperoleh berkat, pahala dan sebagainya. Maka dalam kes ini kita tidak boleh
menerima sembelihan mereka kerana Allah Azza waJalla telahpun berfirman:
Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih) dan
darah (yang keluar mengalir) dan daging babi dan binatang-binatang yang
disembelih kerana yang lain dari Allah. [Maksud surah al-Maidah 05 -
03] Ayat ini adalah sekumpulan dan diperkira turun bersama-sama dengan ayat
yang menghalalkan sembelihan ahli kitab. Oleh itu hukum menyembelih kerana
sesuatu selain Allah adalah haram dimakan dan ia tetap berhubung-laku samada
bagi sembelihan umat Islam ataupun umat Ahli Kitab. Ini adalah kerana
menyembelih bagi tujuan sesuatu selain Allah atau dengan nama selain Allah
adalah sesuatu yang mengandungi unsur-unsur syirik di dalamnya dan syari'at
Islam sememangnya tidak memberikan kelonggaran dalam hal-hal yang ada
mengandungi unsur-unsur syirik, sekalipun hanya bayang-bayangnya.
Walaubagaimanapun sesuatu sembelihan yang
dilakukan oleh kaum Ahli Kitab yang tidak kita ketahui apakah nama yang mereka
sebut ke atasnya adalah halal untuk kita makan kerana kita, mengikut kaedah usul
fiqh, sememangnya tidak diwajibkan untuk menyelidik sesuatu yang tidak mungkin
dapat diketahui hakikat asal-usulnya. Dalam hal ini para fuqaha amat cenderong
kepada hujah dua orang sahabat Nabi sallallahu-alaihi-wasallam yang terkenal,
iaitu az-Zuhri dan Ali bin Abi Talib radiallahu-anhuma yang berkata: Tidak
ada salahnya memakan haiwan sembelihan kaum Nasrani Arab. Akan tetapi jikalau
kamu mendengar orang yang menyembelih haiwan itu menyebut suatu nama selain dari
nama Allah maka janganlah kamu makan, dan jikalau kamu tidak mendengar nama
apakah mereka sebut (maka makanlah) kerana Allah sememangnya telah menghalalkan
memakan hasil sembelihan mereka dalam suasana Allah sedia mengetahui kekafiran
mereka.[16]
Prof. Dr. Yusuf Qardhawi juga telah menulis:
Yang tidak kita ketahui tidak kita tanyakan dan kita tidak perlu bertanya
mengenai sesuatu yang bukan urusan kita. Hanya sahaja apabila kita ketahui
bahawa makanan tersebut berasal dari orang Ahli Kitab maka pada saat kita hendak
memakannya kita sebut sahaja nama Allah.[17]
Keempat:
Hukum sembelihan kaum Ahli Kitab yang dilakukan sempena hari perayaan mereka.
Adakalanya sesuatu sembelihan itu dilakukan oleh
kaum Ahli Kitab adalah bersempena dengan hari-hari perayaan mereka, seperti Hari
Natal, Thanksgiving Day[18],
Hari Ulangtahun Gereja, Perlantikan Paderi atau Rahib, Majlis Perkahwinan di
Gereja dan sebagainya. Maka dalam hal ini majoriti para fuqaha dari Mazhab
Maliki, Shafie dan Hanbali[19]
meletakkan hukum makruh bagi kita untuk turut serta memakan makanan yang
disembelih sempena perayaan-perayaan mereka. Makruh juga untuk kita turut serta
dalam majlis makan yang mereka anjurkan ketika itu. Kemakruhan dalam dua suasana
ini adalah kerana kita umat Islam tidak mahu turut serta atau bersubahat dalam
majlis-majlis keagamaan mereka. Kehadiran atau penerimaan kita terhadap makanan
atau sembelihan mereka dalam majlis-majlis keagamaan tersebut seolah-olah
menampakkan sokongan kita terhadap agama mereka padahal kita dilarang dari
berbuat demikian.
Akan tetapi apabila seseorang muslim itu
menerima atau membeli daging hasil sembelihan Ahli Kitab padahal dia tidak
mengetahui bahawa daging tersebut disembelih sempena sesuatu majlis perayaan
mereka, maka daging itu tetap halal kerana sesuatu yang tidak diketahui tidak
akan dijadikan sumber patukan hukum baginya.
Walaubagaimanapun sebahagian ahli fiqh
berpendapat bahawa sembelihan kaum Ahli Kitab yang dilakukan sempena
perayaan-perayaan mereka adalah dihalalkan tanpa apa-apa syarat hukuman.
Pendapat ini didasarkan kepada pendapat seorang sahabat Nabi
sallallahu-alaihi-wasallam yang terkenal, iaitu Abu Darda radiallahu-anhu.
Diriwayatkan bahawa:
Telah bertanya seorang lelaki kepada Abu
Darda samada bolehkah dia memakan daging seekor kambing yang telah diberikan
kepadanya, yang telah disembelih sempena hari perayaan Gereja St. George. Abu
Darda menjawab: Ya Allah ! Maafkanlah ! Bukankah mereka itu kaum Ahli Kitab, di
mana makanan mereka adalah halal bagi kami dan makanan kami halal bagi mereka ?
Abu Darda kemudian menyuruh lelaki tersebut untuk memakan daging kambing
tersebut.[20]
Sebenarnya pendapat para fuqaha di atas tidaklah
bertentangan dengan pendapat Abu Darda. Para fuqaha lebih memberikan perhatian
kepada pertimbangan keseluruhan ruh agama manakala Abu Darda hanyalah memberikan
pendapat beliau antara dua hukum, iaitu halal atau haram. Justeru sembelihan
Ahli Kitab sempena perayaan mereka pada dasarnya adalah tetap halal untuk kita
makan, hanya sahaja ia adalah makruh dari sudut keutamaannya demi menjaga maruah
agama.
Kelima:
Kaedah atau cara sembelihan yang dibolehkan.
Terdapat beberapa pengusaha pusat penyembelihan
kaum Ahli Kitab masa kini yang menyembelih binatang-binatang mereka dengan
menggunakan kaedah kejutan elektrik, iaitu selepas binatang itu dibaringkan
terlebih dahulu dengan ubat tidur. Perubahan teknologi sembelihan ini membawa
ahli fiqh kita kepada topik perbincangan yang baru, iaitu adakah sembelihan kaum
Ahli Kitab boleh kita terima dengan cara kejutan elektrik atau adakah kita hanya
boleh menerima sembelihan yang dilakukan mengikut syari'at asal mereka, iaitu
memotong di leher binatang dengan pisau tajam ?
Dalam menganalisa persoalan ini penulis mengutip
penerangan Prof. Dr. Yusuf Qardhawi yang telah berkata: Apa sahaja kaedah
sembelihan yang dikatakan sebagai halal oleh kaum Ahli Kitab adalah juga halal
bagi kita sekalipun kaedah sembelihan mereka berlainan dengan kaedah sembelihan
kita. Dan apa sahaja kaedah sembelihan yang dikatakan haram oleh mereka maka
kita juga menerima keharamannya (iaitu dengan tidak memakannya). Apabila mereka
kaum Ahli Kitab melakukan penyembelihan, mereka menyembelih dengan tujuan agar
sembelihan mereka itu adalah halal dijadikan sebagai makanan mengikut
syarat-syarat agama mereka. Ini adalah merupakan hujah pendapat sebahagian dari
para fuqaha Mazhab Maliki.
Dari keterangan ini, maka dapat kita yakini
bahawa daging-daging yang dimpot dari negara-negara Ahli Kitab seperti ayam dan
lembu adalah halal untuk kita makan sekalipun ada kemungkinan bahawa ia telah
disembelih dengan menggunakan kejutan elektrik atau apa-apa yang seumpama.
Asalkan sahaja mereka kaum Ahli Kitab berpendapat bahawa kaedah ini adalah halal
menurut syari'at agama mereka maka ia juga adalah halal untuk kita. Inilah
sebenarnya maksud tujuan surah al-Maidah yang telah menghalalkan sembelihan
mereka.[21]
Penerangan Prof. Dr. Yusuf Qardhawi di atas
bermaksud bahawa kita telahpun dihalalkan untuk memakan sembelihan kaum Ahli
Kitab apabila mereka menyembelih binatang-binatang mereka menurut ketentuan
syari'at mereka. Apa sahaja yang dipandang halal oleh mereka dari sudut kaedah
sembelihan, maka ia juga adalah halal bagi mereka. Ini adalah kerana kita
dihalalkan untuk menerima sembelihan mereka tanpa dibebani dengan syarat
penyelidikan ke atas cara-cara sembelihan mereka.
Tambahan lagi apabila Islam mensyari'atkan
kebolehan memakan hasil sembelihan kaum Ahli Kitab, telah sedia diketahui bahawa
kaum Ahli Kitab ini melakukan berbagai-bagai perubahan dalam syari'at-syari'at
agama mereka. Maka tidaklah menjadi satu keasingan jikalau mereka masa kini juga
melakukan perubahan-perubahan yang seumpama dan akan terus melakukannya pada
masa-masa akan datang. Justeru perubahan kaedah sembelihan adalah sesuatu yang
sudah sedia dijangkakan sejak dari awal lagi dan ia tidak menjadi penghalang
pada masa lalu, maka dengan itu ia juga tidak sepatutnya menjadi faktor
penghalang pada masa kini.
Walaubagaimanapun kebanyakkan pusat-pusat
penyembelihan kaum Ahli Kitab masa kini masih menggunakan teknik sembelihan
dengan pisau tajam di leher binatang tersebut.[22]
Teknik ini masih menjadi pilihan mereka kerana daging yang disembelih sebegini
lebih baik mutu dan kualitinya daripada daging yang 'dikejut' dengan sambaran
elektrik. Lebih dari itu sembelihan dengan kaedah potongan di leher juga menjadi
pengesyoran pakar-pakar kesihatan kerana darah yang memancut-mancut keluar dari
leher binatang yang disembelih itu dipersetujui sebagai bermanfaat dari sudut
kesihatan manusia.
Ketiga:
Beberapa Nota Tambahan.
Pertama
Negara-negara Ahli Kitab.
Apabila kita merujuk kepada kaum Ahli Kitab bagi
memakan sembelihan mereka, kita juga sebenarnya merujuk kepada tempat-tempat
kehadiran mereka. Definasi Ahli Kitab umum mewakili umat-umat Yahudi danNasrani
(Kristian), oleh itu apabila kita merujuk kepada negara Ahli Kitab, ia adalah
umum ditujukan kepada negara-negara di mana majoriti penduduknya, atau agama
rasminya adalah Yahudi atau Nasrani atau kedua-duanya. Oleh itu yang dimaksudkan
sebagai negara-negara Ahli Kitab ialah Australia, New Zealand, Amerika, Canada,
England, Germany dan sebagainya. Di negara-negara ini seluruh sembelihan mereka
diperkira sebagai sembelihan Ahli Kitab yang halal untuk kita makan[23].
Bagi negara-negara di mana penduduk majoriti
mereka bukan beragama Nasrani atau Yahudi seperti di Afrika, Amerika Selatan dan
sebagainya, maka harus kita mencari komuniti mereka bagi menerima sembelihan
mereka. Bagi negara-negara di mana penduduk yang menganut agama Yahudi atau
Nasrani wujud dalam bilangan yang kecil, seperti di Jepun, Rusia dan China,
wajib kita pastikan terlebih dahulu bahawa makanan atau daging yang mereka
sediakan adalah disembelih oleh orang-orang Yahudi atau Nasrani sebelum kita
boleh menerimanya sebagai halal. Ini adalah kerana orang-orang Yahudi atau
Nasrani yang hadir secara minoriti di negara-negara ini adakalanya menerima
daging sembelihan dari kaum-kaum lain yang bukan dari agama mereka sendiri.
Tidak perlu diperiksa kadar keimanan atau
ketaatan umat-umat Yahudi atau Nasrani di negara-negara ini terhadap agama
mereka masing-masing. Islam hanya menghalalkan sembelihan mereka tanpa
mewajibkan kita menyemak syari'at mahupun amalan mereka. Islam hanya membenarkan
sembelihan mereka, bukan pula membenarkan agama mereka.
Di sini perlu ditegur sikap sesetengah pihak
yang meletakkan pelbagai syarat-syarat ketat bagi menerima sesuatu kaum atau
negara itu sebagai kaum Ahli Kitab padahal dalam waktu yang sama pihak-pihak ini
lupa pula untuk mengenakan syarat-syarat yang sama terhadap umat Islam.
Pihak-pihak ini berkata orang-orang Yahudi dan Nasrani masa kini tidak lagi
mentaati ajaran agama mereka padahal dalam waktu yang sama pihak-pihak ini lupa
bahawa umat Islam masa kini juga ramai yang amat longgar ketaatan mereka
terhadap ajaran agama sendiri. Pihak-pihak ini berkata bahawa ramai umat Nasrani
masa kini tidak lagi pergi ke gereja di hari Ahad padahal mereka lupa bahawa
umat Islam juga ramai yang tidak pergi ke masjid di hari Jumaat.
Kritikan di atas tidak lain hanyalah bermaksud
untuk menyedarkan sesetengah pihak yang telah mengharamkan hukum agama
berdasarkan berbagai-bagai syarat yang tidak perlu disyaratkan. Agama Islam yang
syumul ini telah memudahkan untuk umatnya beberapa perkara dan meluaskan juga
beberapa hukum demi kemaslahatan mereka maka tidaklah sepatutnya kemudahan ini
kita tolak atau sempitkan atas sikap terlalu berhati-hati yang tidak ditafsir
berdasarkan kepada nilai-nilai syari'ah secara ilmiah.
Tegur Allah Subhanahu waTa'ala di dalam
al-Qur'an: Katakanlah: Siapakah yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah
yang telah dikeluarkanNya untuk hamba-hambaNya dan demikian juga benda-benda
yang baik lagi HALAL dari rezeki yang dikurniakanNya ? Katakanlah: Semua
itu adalah (nikmat-nikmat) untuk orang-orang yang beriman dalam kehidupan dunia
………[Maksud surah al-A'raaf 07 - 32]
Kedua:
Perbezaan antara sembelihan dan masakan.
Selama ini kita telah menganalisa serta
membicarakan hal-hal berkaitan dengan sembelihan kaum Ahli Kitab, belum lagi
tentang masakan kaum Ahli Kitab. Antara dua ini terdapat perbezaan yang nyata,
di mana yang dihalalkan hanyalah sembelihan mereka manakala masakan mereka pula
wajib mengikuti syarat-syarat agama kita. Justeru itu apabila kita pergi
ke negara-negara Ahli Kitab lalu hendak makan di sana, wajib kita pastikan
terlebih dahulu bahawa daging dan ayam mereka dimasak mengikut hukum-hukum
Islam.
Yang dimaksudkan sebagai masakan mengikut
hukum-hukum Islam ialah daging-daging tersebut tidak dimasak dalam minyak yang
disaring dari lemak binatang (animal oil) kerana sebahagian besar dari
sumber minyak binatang adalah berasal dari lemak-lemak babi (lard).
Sekalipun sesebuah restoran itu menggunakan minyak sayuran, perlu dipastikan
bahawa minyak itu tidak dicampuri atau diulang-guna untuk beberapa jenis masakan
yang mengandungi daging babi. Demikian juga tidak boleh makan di restoran yang
menyedia masakan daging lembu dan daging babi dalam dapur yang sama kerana sudah
pasti mereka akan menggunakan alat-alat memasak yang sama. Adakala juga
sesetengah resipi mereka yang disalingi dengan minuman wine yang
dicampurkan bersama ketika memasak bagi menambahkan kelazatan. Ini juga tidak
boleh kita terima.
Penerangan di atas tidak memberikan kita banyak
pilihan kecuali mencari restoran-restoran masyarakat Ahli Kitab yang sememangnya
tidak mempunyai menu masakan daging babi dan ia juga tidak menggunakan minyak
masak dari lemak binatang. Ini dapat kita lakukan dengan bertanya kepada tuan
kedai tersebut dan menantikan jawapan yang menyakinkan darinya. Satu alternatif
lain ialah memilih masakan atau restoran yang menyediakan pemakanan Kosher
atau Kosher Dietry. Apakah itu Kosher ? Persoalan ini akan dijawab
dalam huraian berikut ini.
Ketiga:
Pemakanan Kosher.[24]
Kosher (Kashruth) adalah sebuah
terminologi Bhs. Hebrew yang bermaksud betul atau lengkap. Dari segi definasinya
ia bermaksud sesuatu sumber pemakanan yang disediakan secara betul lagi lengkap
mengikut syarat-syarat hukum agama yang tertera dalam kitab Taurat, Kitab Moses
yang lima (The Pentateuch) dan kitab Injil. Pemakanan Kosher adalah lebih
merupakan syarat pengkhususan oleh kaum orthodox Yahudi yang masih ketat
memegang kepada ajaran-ajaran agama mereka.
Sembelihan dan masakan Kosher disediakan dalam
suasana pengawasan yang ketat oleh badan-badan keagamaan mereka. Antara
syarat-syarat yang perlu dipenuhi sebelum sembelihan atau masakan mereka
disahkan sebagai halal menurut agama mereka ialah:
1.
Tukang sembelih adalah seorang Yahudi orthodox yang kuat pegangannya
terhadap agama.
2.
Binatang yang hendak disembelih bukanlah sesuatu yang telah mati
(bangkai) dan bukan juga sesuatu yang mati kerana tercedera atau disiksa.
3.
Rumah sembelihan dan alat-alat sembelihan hanya khusus untuk kegunaan
kaum Yahudi orthdox ini. Tiada percampuran dibenarkan dengan sembelihan kaum
lain sekalipun bagi kaum-kaum Yahudi dan Nasrani.
4.
Binatang yang disembelih adalah dari jenis haiwan yang dihalalkan oleh
agama. Babi dan hasil-hasil sampingannya tidak termasuk sebagai salah
satu haiwan yang dihalalkan.
5.
Sembelihan hendaklah dilakukan dengan pisau tajam yang dapat memotong
leher haiwan tersebut secara pantas sehingga tidak terasa kesakitannya.
Sembelihan dengan kejutan elektrik tidak diterima.
6.
Daging-daging tersebut diekspot secara berasingan, dalam bekas dan
bungkusan berasingan, tidak boleh bercampur dengan hasil-hasil sembelihan kaum
lain.
7.
Daging-daging tersebut hanya boleh dimasak di dapur dan restoran yang
hanya menyajikan masakan kosher mengikut resepi-resepi kosher. Ini adalah
kerana resepi kosher mengandungi beberapa syarat tambahan seperti daging yang
hendak dimasak tidaklah berdarah lagi, susu dan daging tidak boleh dimasak
bersama, makanan laut yang bercengkerang tidak boleh diterima dan beberapa jenis
lemak juga tidak diterima. Sebarang percampuran dengan sembelihan atau menu atau
resepi masakan kaum lain sekalipun Yahudi dan Nasrani adalah tidak diterima.
8.
Masakan kosher tidak boleh disediakan dalam minyak yang berasal dari
lemak binatang. Penggunaan wine dalam masakan hanya dibolehkan apabila wine itu
dimasak dengan sempurna dalam masakan tersebut, tidak hanya dituang ke atasnya.
Walaubagaimanapun seseorang itu boleh meminta agar wine tidak dicampur sama ke
dalam masakan yang mereka pesan.
9.
Setiap restoran Kosher mempunyai sijil-sijil pengesahan mereka yang
disahkan oleh badan-badan berwajib keagamaan Yahudi orthodox.
Syarat-syarat pemakanan kosher di atas jelas
memberikan keyakinan yang diperlukan oleh kita umat Islam. Yang utama bagi kita
umat Islam ialah pemakanan kosher disediakan tanpa dicampuri dengan masakan
daging babi atau apa-apa hasil sampingan haiwan tersebut. Restoran-restoran
serta kedai-kedai makan Kosher mudah didapati di mana-mana lokasi diseluruh
dunia terutamanya di Eropah dan Amerika Syarikat. Makanan-makanan dalam bentuk
sejuk beku juga mudah diperolehi di pasaraya-pasaraya, dikenali dengan lambang
dan sijil pengesahan Kosher Certified. Selain itu juga kita akan dapati
barangan-barangan sampingan seperti Kosher Ice Creame, Kosher Yoguhrt, Kosher
Bread, Kosher Cooking Oil, Kosher Cheese dan berbagai lagi yang terjamin bersih
dari hasil-hasil sampingan yang diharamkan, terutamanya yang berasal dari
makhluk babi.
Masakan kosher juga boleh diperolehi dalam menu
permintaan khas di kebanyakkan syarikat-syarikat penerbangan antarabangsa.
Kosher menu perlu diminta terlebih awal, kira-kira 24 jam sebelum waktu
penerbangan dan ia akan diserahkan dalam pesawat nanti. Walaubagaimanapun
sesetengah syarikat penerbangan antarabangsa ada juga menyediakan masakan Islam
sebagai menu permintaan khas.
Keempat:
Mengutamakan pemakanan Umat Islam.
Sekalipun dibolehkan memakan hasil sembelihan
Kaum Ahli Kitab, perlu ditegaskan di sini bahawa yang utama adalah tetap memilih
sembelihan serta masakan Umat Islam sendiri. Keutamaan ini adalah berdasarkan
konsep kita umat Islam yang seharusnya memberi prioriti dan pilihan teratas
kepada urusan sesama umat daripada urusan antara berlainan umat dan kaum. Oleh
itu sembelihan umat Islam harus diutamakan daripada sembelihan umat Ahli Kitab
dan lebih dari itu, sembelihan umat Islam yang kuat ketaqwaannya lebih patut
diutamakan daripada sembelihan umat Islam umumnya.
[1]
Kaum Saabi'in adalah penyembah malaikat manakala kaum
Majusi adalah penyembah matahari. Kajian lebih lanjut sila lihat
mana-mana kitab tafsir yang membicaranya secara mendalam, antaranya
Tafsir al-Maraghi, 17/166-167. Bagi hukum sembelihan mereka lihat
penerangan Prof. Dr. Wahbah Zuhaili dalam Fiqh dan Perundangan Islam,
3/753.
[2]
Dr. Ahmad Sukarja - Perkahwinan Antara Berbeza Agama
Menurut Hukum Islam, ms 8, sebuah kertas kajian yang dimuatkan dalam
buku Problematika Hukum Islam Kontemporer, ketua editor Dr. Huzaimah
Yanggo dan Drs. Hafiz Anshari.
[3]
Prof. Dr. Yusuf Qardhawi -Halal and Haram in Islam, pg 63,
fn 03. Bagi analisa lanjut kihat buku Dr. M. Quraish Shihab - Wawasan
al-Qur'an, ms 366-369.
[4]
Prof. Dr. Yusuf Qardhawi -Halal and Haram in Islam, pg
59-60.
[5]
Maksud hadith dari Salman al-Farisi radiallahu-anhu, Sunan
Ibnu Majah - no: 3367.
[6]
Maksud hadith dari Abi Tha'labah radiallahu-anhu, diriwayatkan
oleh Imam ad-Daruquthni dan dinilai sebagai hadith hasan oleh Imam
an-Nawawi dalam Syarh Matn Arba'in - no: 31.
[7]
Prof. Dr. Yusuf Qardhawi - Hadyu Islam: Fatwa
al-Mua'shirah, ms 812 ; Dr. Ahmad as-Syarbashi - Yas 'Alunaka fi
ad-Din wal al-Hayah, 1/519-522 ; Prof. Dr. Wahbah Zuhaili - Fiqh dan
Perundangan Islam, 3/750 dan lain-lain lagi. Lihat juga penerangan
konsep halal dan haram dalam Islam oleh Prof. Abdul Rahman I. Doi dalam buku
beliau Shari'ah: The Islamic Law, pg 406-410.
[8]
Prof. Dr. Wahbah Zuhaili - Fiqh dan Perundangan Islam,
3/752.
[9]
Kajian lebih jauh lihat Sejarah dan Dasar Pengajian
al-Qur'an, ms 48-65 oleh Shaikh M. Ali as-Shabuni.
[10]
Ayat al-Baqarah 106 di atas diterjemahkan selari dengan
pengkajian ilmu Nasikh dan Mansukh yang dikemukakan oleh kebanyakkan
ahli ilmu mutakhir, antaranya oleh Shaikh Muhammad Abduh dan Rashid Risda
dalam Tafsir al-Manar , serta oleh Dr. M. Quraish Shihab dalam
Membumikan al-Qur'an, ms 143-150.
[11]
Ayat 'kesempurnaan agama Islam' diturunkan pada 81 hari
sebelum wafatnya Nabi sallallahu-alaihi-wasallam menurut kiraan ahli sejarah
dan ulama' tafsir, lihat Sejarah dan Dasar Pengajian al-Qur'an, ms 15
oleh Shaikh M. Ali as-Shabuni. Dikatakan bahawa ayat ke 5 dari surah
al-Maidah ini turun pada 81 hari sebelum kewafatan Nabi atau mungkin awal
sedikit kerana ia adalah serangkap termasuk dalam golongan ayat ke 3 dalam
surah yang sama, sepertimana yang dikategorikan oleh al-Hajj Ta'lim Ali
(T.B. Irving) dalam muqaddimah kitab tafsir beliau terhadap surah al-Maidah,
dalam The Qur'an: Translation and Commentary , pg 53.
[12]
Lihat penerangan Imam Ibnu Kathir - Mukhtasar Tafsir
al-Qur'anul Adzim Ibnu Kathir, 3/1.
[13]
Prof. Dr. Yusuf Qardhawi -Halal and Haram in Islam, pg 60 ;
Shaikh Abdul Rahman al-Jaziri - Fiqh 'Alal Madzahibil Arba'ah, 3/34.
[14]
Lihat penerangan Imam Ibnu Kathir - Mukhtasar Tafsir
al-Qur'anul Adzim Ibnu Kathir, 3/30.
[15]
Maksud hadith dari Sahih Bukhari - no: 5507.
Imam Baihaqi berkata bahawa daging tersebut diberikan oleh
sekumpulan orang yang baru sahaja memasuk Islam lalu mereka belum tahu
sepenuhnya tatacara sembelihan menurut ajaran Islam, sehingga diragui
samada mereka telah menyebut nama Allah atau tidak ketika menyembelihnya.
Lalu Nabi sallallahu-alaihi-wasallam menyuruh mereka sendiri yang membaca
nama Allah. Berkata Imam Ibnu Kathir, hadith ini menunjukkan bahawa bacaan
Basmalah itu tidak wajib kerana seandainya ia wajib, sudah tentu Nabi
sallallahu-alaihi-wasallam tidak akan mengizinkan mereka memakannya kecuali
setelah dibuktikan terlebih dahulu, iaitu dengan pergi bertanya kepada
orang-orang tadi yang menghadiahkan daging tersebut. [Mukhtasar Tafsir
al-Qur'anul Adzim Imam Ibnu Kathir, 3/310] Sememangnya membaca
Basmalah ketika sembelihan diperselisihkan hukumnya oleh para fuqaha.
Antaranya ada yang menafsirkan ayat perintah membaca nama Allah itu adalah
sebagai melarang sesuatu sembelihan itu dilakukan atas sebab-sebab bukan
kerana Allah. Rujuk mana-mana kitab fiqh muktabar dalam hal ini.
Walaubagaimanapun kebanyakkan ahli fiqh membenarkan kita memakan hasil
sembelihan kaum Ahli Kitab dengan membaca Basmalah secara sendiri
(yakni kita sendiri yang membacanya) berdasarkan hadith di atas. Lihat
Hadyu Islam: Fatwa al-Mua'shirah, ms 812 oleh Prof. Dr. Yusuf Qardhawi.
[16]
Maksud atsar sahabat dari Sahih Bukhari - no: 5507, vol 7, pg
329. Bagi kajian pendapat para fuqaha sila lihat kitab Shaikh Abdul
Rahman al-Jaziri - Fiqh 'Alal Madzahibil Arba'ah, 3/33-36.
[17]
Prof. Dr. Yusuf Qardhawi - Hadyu Islam: Fatwa al-Mua'shirah,
ms 812.
[18]
Thanksgiving Day adalah satu hari upacara keagamaan dan bukan
sahaja sekadar adat kebiasaan di benua Amerika Utara. Hari ini dianjurkan
sebagai satu tanda kesyukuran mereka ke atas tahun yang telah berlalu dan
segala kebaikan yang mereka perolehi dalam tahun tersebut. Hari ini juga
disambut dengan upacara khusus di gereja-gereja. Bagi kajian lanjut sila
lihat The Oxford Dictionary of World Religions.
[19]
Prof. Dr. Wahbah Zuhaili - Fiqh dan Perundangan Islam, 3/751.
[20]
Maksud atsar sahabat diriwayatkan oleh Imam at-Tabari
dikemukakan oleh Shaikh Ahmad Mustafa al-Maragi dalam Tafsir al-Maragi,
5/111. Lihat juga analisa Prof. Dr. Yusuf Qardhawi -Halal and Haram
in Islam, pg 61.
[21]
Prof. Dr. Yusuf Qardhawi -Halal and Haram in Islam, pg 62.
[22]
Prof. Dr. Hamka misalnya, bagi tujuan memuaskan hatinya, telah
pergi ke Amerika untuk menyelidik kaedah-kaedah penyembelihan di sana.
Beliau telah melawat sebuah pusat sembelihan lembu secara komersial yang
amat besar, di mana dalam satu hari sahaja mereka menyembelih 14, 000 ekor
lembu. Lembu-lembu itu tetap disembelih dengan cara memotong leher mereka
dengan pisau yang tajam. Walaubagaimanapun bagi memudahkan kawalan lembu
yang sedemikian banyak bilangannya, lembu-lembu tersebut ditidurkan terlebih
dahulu dengan gas pelali agar tidak terkejar-kejar para pekerja kilang
tersebut untuk menangkap lembu-lembu itu. [ Prof. Dr. Hamka - Tafsir
al-Azhar, 3/1628]
[23]
Lihat penerangan Dr. Ahmad as-Syarbashi - Yas 'Alunaka fi
ad-Din wal al-Hayah, 1/519-522.
[24]
Kajian lanjut sila lihat - The Kosher Companion: A Guide to
Food, Cooking, Shopping and Services oleh Trudy Garfunkel ; The
Shengold Jewish Encyclopedia - Kosher / Dietry Law ; The Oxford
Dictionary of World Religion - Kosher/Dietry Law ; The Penguin
Handbook of Living Religions, pg 34 dan lain-lain.
Terima kasih kepada Sumber : https://hafizfirdaus.com/ebook/musafir/bhg47.htm (Semoga Ilmu yg disebar luas memberi manafaat kepada kita semua... In shaa Allah)
|
MENCARI KEBENARAN dgn Menyingkap Rahsia
Berdasarkan Al-Qur'an, Hadist dan Bible.
Apa yang baik adalah drp Allah s.w.t. dan apa yang salah adalah daripada kelemahan dan kekurangan ilmu saya, sentiasa mohon teguran kalian semua...
Saya insan baru belajar, dan sentiasa akan belajar...
Wednesday 13 April 2016
Sembelihan Binatang Kaum Yahudi dan Nasrani
Subscribe to:
Posts (Atom)